BAB I
PENDAHULUAN
1. TEORI KONTRAK SOSIAL
Teori kontrak sosial yang menjadi salah satu teori utama menghurai kewujudan negara yang perlu difahami ialah asas dan semangat kontrak sosial itulah yang menjadi landasan kewujudan kontrak sosial kita. Justeru, tidak timbul soal pemimpin memutarbelitkan makna kontrak sosial daripada pencipta asalnya.
Perlu difahami, tiada satu pun teori dalam dunia ini dapat diikuti sepenuhnya. Latar belakang sejarah dan budaya sesebuah negara mesti diambil kira. Malah, negara Barat sendiri tidak dapat mengikut sepenuhnya erti kontrak sosial yang diteorikan oleh pencipta asalnya.
Teori kontrak sosial menjelaskan negara dibentuk atas kehendak dan kesediaan anggota masyarakat mengadakan kontrak bagi menjaga kepentingan dan keselamatan umum. Dalam teori ciptaan tuhan (negara teokrasi) menyatakan tuhan memberi mandat kepada raja untuk memerintah rakyat dan tuhan jugalah yang mencabut balik mandat kekuasaan apabila raja dianggap tidak memerintah dengan adil.
Sebaliknya, teori kontrak sosial yang ideanya muncul pada era pencerahan di Eropah memartabatkan ‘rasionalisme’, ‘humanaisme’ dan ‘realisme’ sebagai alur pemikiran utama. Ia meletakkan manusia sebagai pusat gerak dan segala peristiwa dunia, bukannya tuhan. Sebagai umat Islam kita tidaklah berpendirian demikian.
Kita akur bahawa Sahifah Madinah yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW adalah sebahagian kontrak sosial di antara orang Islam dan orang bukan Islam (Yahudi) meletakkan kebesaran dan kekuasaan Allah sebagai landasan utama pembentukan perlembagaan terbabit.